KUALA LUMPUR – Tempoh 26 minit yang pertama adalah masa yang amat
kritikal dalam satu-satu kes kehilangan kanak-kanak, kata Pertubuhan
Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa).
Pengerusinya, Mohd. Fairuz
Mohamed Isa mendakwa, dalam tempoh 26 minit tersebut kanak-kanak
terlibat mungkin akan hilang didalam jangkauan setempat dan berada jauh
dari lokasi awal kehilangannya.
“Justeru ibu bapa perlu bertindak
pantas dalam masa 26 minit tersebut dalam kes kehilangan anak,” katanya
melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Fairuz berkata, kes
kehilangan kanak-kanak tidak hanya menjadi igauan di Malaysia malah di
seluruh dunia termasuk di negara mahu seperti Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya,
National Incidence Studies of Missing, Abducted, Runaway and Thrownaway
Children (NISMART) melaporkan lebih satu juta kanak-kanak hilang pada
tahun 2005.
Namun, hanya 100 kes dilaporkan hilang disebabkan
penculikan dan dalam kebanyakan kes itu di AS, pemangsa pencabulan
kanak-kanak merancang penculikan beberapa hari, minggu atau kadangkala
sehingga beberapa bulan lamanya sebelum melarikan kanak-kanak tersebut.
Malah dilaporkan seorang kanak-kanak hilang di AS pada setiap 26 saat dan keadaan itu cukup menggerunkan, katanya lagi.
Justeru,
katanya, pihaknya menyarankan beberapa langkah untuk diambil oleh ibu
bapa di Malaysia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Langkah
itu adalah dengan menyimpan dan mengemas kini rekod peribadi
kanak-kanak setiap enam bulan termasuk rekod asid deoksiribonukleik
(DNA) dengan menyimpan cap jari atau rambut serta mengenal pasti tanda
di badan anak seperti tahi lalat, parut atau tanda lahir.
Langkah
kedua adalah dengan peka pada apa yang dipakai oleh kanak-kanak pada
setiap masa terutama sewaktu ke tempat yang sesak seperti pasar raya,
ekspo atau pasar dan mengenal pasti aksesori yang terlekat pada baju,
jam tangan dan sebagainya.
Ibu bapa juga disaran memakaikan tanda
pengenalan seperti gelang keselamatan yang mempunyai nombor telefon bagi
memudahkan orang ramai mengesan anak mereka sekiranya kanak-kanak itu
hilang di tempat awam.
Selain itu, katanya, PaMa juga menyarankan
penambahbaikan sistem NUR Alert (National Urgent Response Alert) kerana
masih belum ada tindakan yang wajar dilakukan bagi mengesan dan mencari
kanak-kanak yang hilang dilakukan serta-merta di seluruh negara sebaik
sahaja laporan diterima dan bagi membolehkan maklumat kehilangan
kanak-kanak tersebut dihebahkan ke seluruh negara melalui pelbagai
medium.
Menurutnya, Kementerian Pelajaran pula disaran
memperkemaskan program 3K (Keselamatan, Kesihatan dan Keceriaan) dan
Kelab Pencegahan Jenayah sekolah bagi mendidik para pelajar mengenai
kepentingan menjaga keselamatan diri.
Taken from here
No comments:
Post a Comment